Seorang lelaki membuat laporan polis apabila mendakwa telah dipukul oleh anggota tentera semasa menonton perlawanan akhir Piala FA 2023 antara Johor Darul Takzim (JDT) menentang KL City di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.

Perkembangan itu disahkan oleh Ketua Polis daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Rahmat Ariffin yang berkata, lelaki berusia 30 tahun itu membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Besi di Kuala Lumpur, pada 11.50 pagi semalam.

“Mangsa mengesyaki telah dipukul oleh Johor Military Force (JMF).

“Mangsa telah pulang ke Kuala Lumpur dan mendapat rawatan serta telah ditahan di wad Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

“Doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan patah hidung, pendarahan di kepala dan mata kanan serta lebam seluruh badan.

“Kes disiasat di bawah seksyen 326 kanun keseksaan (cedera parah dengan menggunakan senjata atau benda lain yang merbahaya) jika sabit bersalah. Boleh dihukum penjara sampai 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat.

“Kes dalam siasatan, orang ramai yang melihat kejadian dikehendaki tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menerusi satu video yang tular di media sosial memperlihatkan insiden pergaduhan berlaku di luar kawasan stadium. Namun, difahamkan ia melibatkan golongan ‘casual’ yang didakwa menimbulkan kontroversi ketika perlawanan sedang berlangsung.

Dalam perlawanan itu, JDT muncul sebagai juara Piala FA selepas menewaskan KL City 1-0 hasil jaringan rembatan cantik dari kotak penalti daripada Hong Wan dan Leandro Dos Santos.

Keputusan itu memastikan JDT terus mempertahankan Piala FA selepas memenanginya tahun lepas. Ini juga adalah kejuaraan Piala FA yang ketiga dalam kabinet JDT selepas musim 2016 dan 2022.